PENGEMIS bergadai nyawa membawa anak kecil di persimpangan lampu isyarat.
PENGEMIS bergadai nyawa membawa anak kecil di persimpangan lampu isyarat.
Oleh Raja Noraina Raja RahimHafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahaudin dan Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kehadiran mereka seolah-olah bermusim dengan menjadikan persimpangan lampu isyarat sekitar bandar raya ini 'lubuk' mendapatkan wang secara mudah sejak dua bulan lalu.

Kehadiran pengemis dipercayai warga asing menimbulkan tanda tanya berikutan bilangannya yang semakin ramai selain bergiat aktif hampir sepanjang masa.

Menerusi tinjauan dilakukan wartawan, beberapa kawasan dijadikan sebagai lokasi kegiatan berkenaan termasuk di Taman Johor Jaya, Plentong, Taman Suria, Pasir Gudang dan Taman Daya di sini.

Malah menerusi perkongsian maklumat di media sosial, netizen memaklumkan kumpulan pengemis warga asing turut dilihat berkeliaran di lampu isyarat Hospital Sultanah Aminah (HSA), Majidee, Ulu Tiram, Kota Besar (Kota Tinggi).

Seorang peniaga dikenali sebagai Ezila Nor, 30, berkata, golongan berkenaan sering berpindah-randah menyebabkan kegiatan mereka sukar dihidu.

"Ada yang sanggup bertarung nyawa di atas jalan raya untuk meminta sedekah manakala segelintir pula mengetuk cermin pintu kereta.

"Tindakan golongan terbabit membahayakan pengguna jalan raya lain yang cuba mengelak daripada melanggar mereka. Pengemis terbabit dipercayai adalah golongan Rohingya, Pakistan, Myanmar.

"Segelintir mereka dipercayai memiliki permit kerja di kilang namun menyalahgunakannya untuk mendapatkan wan mudah.

"Orang ramai seharusnya tidak membeli atau memberi wang kepada peminta sedekah kerana ia akan menggalakkan perbuatan itu," katanya.

Seorang penduduk, Misha Abdullah, 46, berkata, pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen Malaysia seharusnya melakukan pemantauan terhadap pengemis warga asing.

"Saya pernah membuat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun difahamkan ia di luar bidang kuasa berikutan pelaku adalah warga asing.

"Orang ramai menjadi keliru soal saluran pengaduan hingga kewujudan kumpulan pengemis ini tidak dapat dibanteras.

Kelmarin tular sebuah video di laman media sosial menunjukkan dua lelaki dipersoal kerana memiliki sejumlah wang dipercayai hasil mengemis di Johor.

Mereka juga didakwa beroperasi di persimpangan lampu isyarat hingga video berkenaan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mendakwa turut pernah terserempak dengan kumpulan pengemis di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya sedang mengenalpasti bilakah video tular itu berkenaan dirakam.

"Kita sudah meminta semua unit untuk memantau dan mengambil tindakan sesuai. Pada bulan lalu, seorang ditahan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sebelum ini pihaknya pernah melakukan tangkapan di Majidee.

"Perbuatan ini suatu kesalahan dan boleh disiasat mengikut Seksyen 27(C) Akta Kesalahan Kecil," katanya.

Eksploitasi warga asing kutip wang derma

Kuala Lumpur: Mengeksploitasi lelaki kudung, orang buta, wanita tua dan kanak-kanak daif yang dibayar untuk menjalankan misi meminta sedekah di bazar Ramadan.

Itu antara kegiatan sindiket yang 'menggaji' beratus warga asing dibawa masuk ke negara ini khusus bagi meraih sebanyak mungkin wang derma sepanjang Ramadan.

Rata-rata pengemis ini dilihat digerakkan secara teratur di lokasi strategik bazar Ramadan dengan dibekalkan bekas sedekah.

Wartawan Harian Metro yang meninjau sekitar bazar Ramadan di Pantai Dalam, bazar Ramadan Jalan Raja Alang, bazar Ramadan Bandar Baru Sentul, bazar Ramadan Sentul Pasar, bazar Ramadan Bandar Sri Permaisuri dan bazar Ramadan Sentosa di sini, mendapati wujud pergerakan pengemis warga asing ini.

emerhatian wartawan mendapati ada di antara pengemis ini dihantar ke bazar Ramadan oleh pemandu kenderaan yang akan 'mengutip' mereka semula beberapa jam kemudian.

Malah ada juga pengemis 'kudung' menggunakan khidmat e-hailing untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain.

Wartawan sempat bertanya kepada 'pengiring' seorang pengemis lelaki buta yang didapati menjadi penunjuk jalan dan memimpin pengemis terbabit.

Wanita warga Indonesia itu memberitahu dia bersama pengemis lelaki warga tempatan itu datang dari Melaka.

"Dia memang buta, kami jual tisu dan bukannya mengemis. Sudah dua hari kami di sini," tegas wanita terbabit sebelum bergegas meninggalkan lokasi bazar Ramadan di Jalan Raja Alang di sini.

Peniaga bazar yang mahu dikenali sebagai Bob, 37, berkata, kegiatan pengemis dan peminta sedekah warga asing itu dianggap merimaskan.

"Mereka tidak berada lama di satu-satu lokasi. Biasanya mereka akan muncul pada waktu puncak orang ramai membeli juadah berbuka puasa sekitar jam 5 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:30 PM