Antara pengemis warga asing termasuk pengemis dari Timut Tengah ditahan dalam operasi di Bukit Bintang, di sini Ahad lalu. FOTO Ihsan JIM
Antara pengemis warga asing termasuk pengemis dari Timut Tengah ditahan dalam operasi di Bukit Bintang, di sini Ahad lalu. FOTO Ihsan JIM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Berpura-pura pengsan dan sakit apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Itu dilakukan pengemis warga asing termasuk dari timur tengah bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

Mereka yang didapati menjalankan kegiatan mengemis di sekitar Bukit Bintang, di sini di gempur JIM Ahad lalu menerusi operasi yang bermula pada jam 6 petang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata,operasi dijalankan susulan aduan awam dan pemantauan JIM ke atas kegiatan mengemis yang membabitkan warga asing di sekitar Bukit Bintang.

"Seramai lapan orang warga asing ditahan dalam operasi ini yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga China, tiga wanita warga Pakistan, seorang wanita warga Jordan, seorang kanak-kanak perempuan warga Pakistanserta seorang kanak-kanak lelaki warga Jordan.

"Semua mereka berusia diantara lapan bulan sehingga 78 tahun. Ketika cuba ditahan salah seorang warga asing yang diperiksa membuat provokasi dengan berpura-pura mengalami kesakitan dan pengsan serta cuba untuk melarikan diri apabila pegawai operasi bertindak untuk membantu.

"Selain daripada itu, seorang wanita warganegara China dikesan menyamar sebagai wanita muslim dengan memakai niqab untuk menutup identiti sebenarnya yang bukan seorang muslim,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengemis yang ditahan turut memakai niqab dan menggunakan kanak-kanak bagi meraih simpati orang ramai untuk mendapatkan wang.

"Semua mereka yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1953/69.Semua pelawat warga asing yang berada di negara ini diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta tidak melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan diri ditahan pihak berkuasa,"katanya.

Terdahulu, Harian Metro menerusi laporan ekslusif melaporkan pengemis terutama dari timur tengah didapati tinggal di hotel dan membeli-belah selepas mengemis di tengah ibu kota.

Gelagat mereka berjaya dirakam wartawan dan jurugambar Harian Metro yang mengekori kumpulan berkenaan dari sebuah hotel dipercayai menjadi penginapan mereka, baru-baru ini.

Mereka tanpa segan silu mendakwa kononnya berasal dari Syria dan Palestin bagi menarik simpati orang ramai.

Wartawan yang melakukan tinjauan di sekitar ibu kota termasuk di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Jalan Hang Tuah, Masjid India, Pasar Seni dan Jalan Petaling mendapati kumpulan ini tidak dikawal sindiket.

From: Hafidzul

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 4:24 PM