GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Seorang lelaki warga asing ditahan bersama wang tunai RM2,500 hasil mengemis termasuk di depan rumah ibadat di sekitar daerah ini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan ketika mengemis di sebuah surau di Taman Bukit Dahlia di sini tengah hari semalam.

Beliau berkata, tindakan dilakukan ketika polis membuat rondaan cegah jenayah pada hasil aduan orang ramai berkaitan aktiviti mengemis membabitkan warga asing.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut atas suspek menemui salinan dokumen pengenalan diri dan satu bekas plastik berisi wang tunai sejumlah RM2,500 dipercayai hasil menagih simpati daripada orang ramai.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 (C) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya.

"Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen (6)(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak melebihi enam kali.

"Orang ramai diingatkan supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan mengemis dan meminta sedekah kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam tempoh tiga bulan lalu enam lelaki warga asing ditahan di kawasan ini selepas didapati menjalankan aktiviti mengemis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 2:19 PM