PENDUDUK Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa di Kuching berarak keliling kampung sambil membawa obor dab berselawat bagi memeriahkan malam pertama Ramadan. FOTO Mohd Roji Kawi.
PENDUDUK Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa di Kuching berarak keliling kampung sambil membawa obor dab berselawat bagi memeriahkan malam pertama Ramadan. FOTO Mohd Roji Kawi.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Perarakan obor memeriahkan suasana malam pertama Ramadan di Kampung Sinar Budi Baru, di Batu Kawa, di sini.

Kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak berkumpul di hadapan Masjid Darus Sakinah di kampung berkenaan sejurus selesai solat sunat tarawih.

Mereka kemudiannya berarak mengelilingi kampung itu sejauh kira-kira 1.5 kilometer sambil berselawat.

Pengerusi penganjur program berkenaan, Abdul Aziz Hamzah berkata, perarakan itu diadakan sejak tahun lalu sebagai pengisian pada malam pertama Ramadan.

Menurutnya, idea untuk mengadakan perarakan membawa obor itu tercetus selepas keadaan pandemik Covid-19 semakin pulih, tahun lalu.

"Ketika pandemik melanda, suasana terutama pada malam pertama Ramadan sunyi sepi kerana kita tidak dibenarkan melakukan aktiviti luar.

"Apabila keadaan pandemik semakin pulih tahun lalu, kami terfikir untuk melakukan sesuatu untuk memeriahkan suasana di kampung ini," katanya.

Menurut Abdul Aziz, sambutan daripada penduduk kampung amat menggalakkan dan mereka meneruskan perarakan itu tahun ini.

"Perarakan ini hanya diadakan pada malam pertama Ramadan sahaja terutamanya untuk menggembirakan kanak-kanak sebelum menjalani ibadah puasa mulai esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 10:53 PM