Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Pasangan suami isteri dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, atas tuduhan menipu peniaga berkaitan penjualan telur ayam tidak wujud hingga menyebabkan kerugian RM52,990, Disember lalu.

Tertuduh Mohamed Hafiz Ibrahim yang juga peniaga dan isterinya, Intan Hafiezah Roslan, masing-masing berusia 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhan itu di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mereka didakwa menipu Muhammad Syafiq Bashir Ahmed, 32, (pengadu) untuk mempercayai 4,245 papan telur akan dihantar pada 2 Januari lalu hingga mendorongnya untuk memasukkan wang ke akaun CIMB Bank milik isteri tertuduh secara berperingkat berjumlah RM52,990 yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdaya sebegitu.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 942, Simpang Ampat antara 13 Disember 2022 hingga 3 Januari 2023 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Mohamed Hafiz turut didakwa mengikut Seksyen 170 dan 171 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai anggota tentera berpangkat kapten dan memakai pakaian menyerupai pakaian digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menipu mangsa sama.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Syarikat Teck Ping Chan Agriculture Sdn Bhd di sini pada 5 petang 13 Disember 2022.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 170 dan 171, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya serta dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM400 atau kedua-duanya.

CECAIR dipercayai telur busuk yang dibaling dan ditinggalkan di rumah mangsa. FOTO Ihsan pembaca.
CECAIR dipercayai telur busuk yang dibaling dan ditinggalkan di rumah mangsa. FOTO Ihsan pembaca.

Dalam pertuduhan berasingan, tertuduh didakwa menipu seorang lagi peniaga, Ahmad Farizal Abdul Hajat, 43, dengan menyamar peguam bagi menyelesaikan kes saman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dihadapi mangsa hingga mendorongnya membayar RM3,000 ke akaun isteri tertuduh bermula 16 hingga 21 Disember 2022.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 dan 21 Disember 2022, jam 3 petang di sebuah kedai makan di Simpang Ampat, dekat sini, dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebat.

Sementara itu dalam prosiding sama, Intan Hafiezah turut didakwa menerima wang RM3,000 dan tidak dapat memberi penjelasan munasabah bagaimana ia diperoleh dalam tempoh 16 Disember 2022 hingga 21 Disember 2022.

Dia dituduh melakukan kesalahan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari menjalankan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Mohamed Hafiz dilepaskan dengan jaminan keseluruhan RM15,500 manakala Intan Hafiezah, RM6,000 dengan seorang penjamin masing-masing.

Sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan pada 5 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 3:08 PM