Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan melakukan jenayah seksual terhadap murid lelaki dan memiliki video lucah, dua tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Hafiz Ab Ghani, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

GURU (tengah) yang didakwa melakukan jenayah seksual terhadap murid lelaki dan miliki video lucah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
GURU (tengah) yang didakwa melakukan jenayah seksual terhadap murid lelaki dan miliki video lucah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa berkomunikasi secara seksual dengan murid berusia 12 tahun ketika kejadian melalui pesanan WhatsApp di Pegoh pada 10.53 pagi, 30 Jun 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK) 2017 yang membawa hukuman penjara tiga tahun jika disabitkan.

Muhammad Hafiz juga dituduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama di sekolah rendah di Pegoh, di sini pada 9.40 pagi, 25 November 2021, dengan kesalahan didakwa Seksyen 14(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat.

Tertuduh turut menghadapi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan video lucah di dalam telefon bimbitnya, yang boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin kerana tertuduh pernah dituduh atas kesalahan sama sebelum ini.

Peguam Muhamad Nazri Abdul Hamid yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah mengambil kira anak guamnya kini ditukarkan ke Jabatan Pendidikan Negeri dan bertugas sebagai pembantu pengurusan pentadbiran.

"Tertuduh memberikan kerjasama penuh sejak kes disiasat pada 2021 yang mana ketika itu dia bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Pegoh sebelum dipindahkan ke JPN Melaka.

"Pertukaran ke JPN Melaka secara tidak langsung satu hukuman buat tertuduh yang menanggung malu biarpun belum dibuktikan bersalah," katanya yang turut mengesahkan anak guamnya itu berdepan kes lain yang akan dibicarakan pada Ogos depan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu saksi hingga kes selesai.

Sebut semula kes ditetapkan apda 19 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 4:40 PM