Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Penyelia syarikat konsesi pembersihan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan berasingan menipu enam individu berkaitan pembelian lot tanah tidak wujud di daerah ini dan Jasin membabitkan kerugian RM60,661, antara Mei 2022 hingga 30 Mac lalu.

Tertuduh, S Sevasangar, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan.

Mengikut keenam-enam pertuduhan, dia didakwa memperdaya enam lelaki berusia 36 hingga 53 tahun berkaitan pembelian lot tanah tidak wujud hingga mendorong semua mangsa membayar kepadanya secara berperingkat dan tunai berjumlah RM60,661.

Mangsa, Abdul Halim Chong Abdullah, 40, V. Muniandi, 36, Muhammad Azizol Jaapar, 45 , Mazlan Abd Ghani, 53, Hairul Nizar Md Tan, 45, dan Kamarulzaman Abdul Rashid, 42, masing-masing mengalami kerugian antara RM2,051 hingga RM33,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh berasingan antara Mei 2022 hingga 30 Mac lalu, di Taman Pengkalan Indah dan di sebuah kedai RM2, di sini.

S Sevasangar didakwa atas enam tuduhan memperdaya enam individu berkaitan penjualan lot tanah tidak wujud. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
S Sevasangar didakwa atas enam tuduhan memperdaya enam individu berkaitan penjualan lot tanah tidak wujud. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Semua tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari mencadangkan jaminan RM57,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia menghidap sakit jantung serta perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun.

Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membenarkan jaminan RM28,000 bagi semua pertuduhan dan kes untuk sebutan pada 23 Jun depan.

Mengikut siasatan polis, mangsa terdiri kontraktor, pemandu lori, pesara dan rakan sekerja tertuduh ditawarkan penjualan lot tanah di sekitar daerah ini dan Jasin dengan harga murah dan akan memperoleh keuntungan lumayan apabila tanah itu dijual kepada pihak lain pada harga lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 1:09 PM