Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pemandu lori didakwa atas empat pertuduhan melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata tiruan ketika melakukan jenayah itu terhadap tiga individu di sebuah taman perumahan di Alor Gajah, akhir bulan lalu.

Tertuduh Yap Chin Boon, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Pada prosiding di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam di Mahkamah Sesyen, tertuduh berdepan tiga pertuduhan melakukan samun berkumpulan bersama-sama dua lagi yang masih bebas.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga dia bersama-sama dua yang masih bebas didakwa melakukan samun berkumpulan terhadap harta iaitu telefon bimbit Vivo milik Tay Siok Khain, 48; telefon bimbit Oppo dan komputer riba Samsung milik Tan Kok Hong, 52, dan telefon bimbit Oppo milik Tang Ke Xin, 17.

Di Mahkamah Majistret pula, Chin Boon dituduh mengikut Seksyen 36, Akta Senjata 1960 iaitu menggunakan senjata tiruan yang tidak dibenarkan secara bertulis oleh Ketua Polis Melaka.

Semua perbuatan itu dilakukan di No 13 Jalan DI 9, Taman Desa Idaman, Durian Tunggal, Alor Gajah pada 29 November lalu, kira-kira jam 6 pagi.

Bagi kesalahan samun berkumpulan dia dituduh mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat, manakala bagi senjata tiruan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum setahun dan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari dan Wardah Ishar yang menjalankan pendakwaan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, masing-masing mencadangkan jaminan RM30,000 dan RM5,000, namun peguam WT Than merayu jumlah itu dikurangkan.

Peguam menyatakan tertuduh sudah bercerai dan bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan serta menanggung anak berusia lapan tahun serta ibu bapa berusia 68 dan 74 tahun.

Katanya, tiada risiko dikemukakan pendakwaan untuk tertuduh melarikan diri selain kejadian samun dan menggunakan senjata tiruan membabitkan transaksi sama selain dia memberikan kerjasama dalam siasatan kes itu sepanjang direman selama 21 hari.

Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi tiga pertuduhan samun, manakala Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menetapkan jaminan RM1,000 dan kes untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 30 Januari 2023.

Yap Chin Boon (tengah, baju T Hitam) didakwa atas empat pertuduhan samun berkumpulan dan menggunakan senjata tiruan. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Yap Chin Boon (tengah, baju T Hitam) didakwa atas empat pertuduhan samun berkumpulan dan menggunakan senjata tiruan. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 5:49 PM