TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO NSTP.
TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO NSTP.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pas hari ini menafikan khabar angin yang mengatakan parti itu mahu keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, soal perkara berkenaan tidak pernah timbul.

"Tak ada, tidak pernah timbul pun," katanya ketika ditemui pemberita di parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa parti itu mahu keluar daripada PN dan desas-desus itu bertiup kencang selepas pemimpin Pas tidak menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2023 hujung minggu lalu.

Tuan Ibrahim berkata, mereka tidak dapat memenuhi jemputan Bersatu disebabkan pemimpin parti itu terpaksa hadir ke mesyuarat agung Pas di kawasan masing-masing.

"Sudah ada jemputan tapi kebetulan Pas kawasan tengah mesyuarat agung. Semua kawasan-kawasan. Kebanyakan pimpinan telah maklum kepada pimpinan tertinggi Bersatu bahawa kebetulan (mesyuarat) hari sama.

"Sebahagian dari kami merasmikan mesyuarat agung kawasan-kawasan. Saya sendiri semalam di lima kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:11 PM