Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur : PAS sebulat suara menyokong pencalonan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, sokongan itu hadir daripada semua 18 Ahli Parlimen mereka, termasuk Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kita sokong sepenuhnya dan SD (akaun bersumpah) sudah siap untuk kita hantar (ke Istana Negara petang ini). Kita sudah pun buat keputusannya.

"(Di peringkat) PAS tiada isu lagi, semua 18 (Ahli Parlimen) 'solid' kita beri sokongan kepada Ismail Sabri," katanya ditemui media di lobi Menara Dato Onn' di sini, tadi.

Terdahulu, Tuan Ibrahim bersama pemimpin PAS antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan; Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad dan Ahli Pimpinan PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hadir mesyuarat di ibu pejabat UMNO itu bersama pemimpin BN dan UMNO.

TUAN Ibrahim bersama pimpinan tertinggi PAS meninggalkan Menara Dato' Onn setelah selesai mesyuarat khas antara UMNO dan PAS. FOTO Asyraf Hamzah
TUAN Ibrahim bersama pimpinan tertinggi PAS meninggalkan Menara Dato' Onn setelah selesai mesyuarat khas antara UMNO dan PAS. FOTO Asyraf Hamzah

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, soal kedudukan atau panggilan nama Perikatan Nasional (PN) selepas ini tidak dibincangkan dalam pertemuan mereka dengan pemimpin UMNO dan BN tadi.

"Kita cuba selesaikan isu yang kita hadapi sekarang. Yang lain kita akan bincang bersama kemudian," katanya.

Difahamkan, SD menyokong Ismail Sabri dihantar oleh peguam yang mewakili parti masing-masing ke Istana Negara hari ini.

Istana Negara dalam kenyataannya tadi turut memaklumkan SD itu diperoleh bagi memudahkan urusan baginda dalam menentukan calon Ahli Dewan Rakyat yang memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Selain PAS dan BN, turut mencalonkan Ismail Sabri bagi jawatan itu adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa Ahli Parlimen bebas.

Dengan sokongan diperoleh setakat ini, Naib Presiden UMNO itu kini mendahului jumlah sokongan teramai dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat, mengatasi dua lagi calon iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 5:14 PM