MOHAMAD Sabu. FOTO Aizuddin Saad
MOHAMAD Sabu. FOTO Aizuddin Saad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan beliau menerima siapa saja yang bakal dipilih sebagai Presiden yang baharu dalam Pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah Sesi 2023-2026 minggu hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, dalam pemilihan nanti, 27 pemimpin tertinggi akan menentukan siapa yang layak untuk menjadi Presiden Amanah yang baharu.

"Itu terserah kepada ahli konvensyen sebab 27 (pemimpin tertinggi) yang akan menentukan. Siapa saja yang dipilih, saya terima. Tidak ada masalah," katanya dalam satu wawancara bersama Harian Metro di pejabatnya.

Sejak beberapa bulan lalu, timbul khabar angin pemilihan Amanah pada hujung tahun ini bakal menyaksikan pertukaran Presiden yang kini disandang oleh Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu.

Pada pemilihan sesi 2019-2022 lalu, Mat Sabu diangkat sebagai Presiden parti, meskipun hanya berada pada kedudukan ketujuh tertinggi mendapat undian perwakilan.

Seramai 124 calon dilaporkan merebut 27 tempat Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah dalam pemilihan parti sesi 2023-2026 yang akan diadakan serentak dengan Konvensyen Nasional 2023 pada 23 dan 24 Disember di Klang, Selangor.

Menurut perlembagaan parti itu, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk Presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih oleh perwakilan, dan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.

Ia penggal terakhir bagi Mat Sabu jika terpilih sekali lagi untuk mengemudi parti yang mempunyai lebih 200,000 ahli itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 12:52 PM