Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Shah Alam: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pemilihan yang akan diadakan hujung tahun hadapan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pemimpin pelapis mengambil alih kepimpinan parti mengikut proses demokrasi.

"Pada Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baharu telah pun tiba.

"Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan yang tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

"Keputusan saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis Bersatu mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bersatu Kali Ke-6 di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.

MUHYIDDIN ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. FOTO Faiz Anuar
MUHYIDDIN ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. FOTO Faiz Anuar

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mencadangkan kepimpinan parti itu bermusyawarah terlebih dahulu bagi memastikan tokoh berpengalaman luas yang ada bersama mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan parti yang baharu nanti.

"Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan. Ini adalah perhimpunan agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.

"Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 12:36 PM