GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seksyen Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 perlu dipinda sebelum menjadikan wang persaraan itu sebagai cagaran untuk pinjaman bank.

Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sebarang pelaksanaan polisi baharu untuk membenarkan cagaran menggunakan KWSP tidak sah tanpa meminda akta sedia ada.

"Jika merujuk kepada Seksyen 51 Akta KWSP 1991, memang tiada peruntukan yang membolehkan wang simpanan itu dicagarkan kecuali perintah pelucutan hak mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

"Sekiranya polisi cagaran KWSP kepada bank ingin dilaksanakan kerajaan, maka Seksyen 51 itu perlu dibawa ke Parlimen untuk dipinda terlebih dulu.

"Ia tidak perlu dipinda jika ada dinyatakan menteri boleh membenarkan (kaedah ini) untuk tujuan tertentu kerana tertakluk kepada kuasa menteri tetapi, saya melihat tidak ada peruntukan khusus kepada menteri untuk mengatasi Seksyen 51 itu," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

PROFESOR Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.
PROFESOR Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Beliau mengulas keputusan kerajaan yang bersetuju menjadikan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank kepada pencarum yang terdesak.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, sebarang keputusan kerajaan untuk membenarkan kaedah ini dilaksanakan perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh termasuk tidak mengenepikan tujuan kewujudan Seksyen 51.

"Sama ada pindaan ini perlu dibuat atau tidak tertakluk kepada pandangan umum.

"Namun, secara asasnya, jika pengecualian Seksyen 51 hendak dibuat, ia perlu mengambil kira rasional dan tujuannya diwujudkan.

"Ini bermakna, tujuan peruntukan Seksyen 51 itu diwujudkan hendaklah diambil kira terlebih dulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Berdasarkan maklumat dipaparkan pada laman sesawang KWSP dengan merujuk Seksyen 51 (1), caruman dan deposit tidak boleh diserah hak atau ditahan walau apa jua berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain boleh diserah hakkan, dipindahkan, ditahan, disekuesterkan atau dilevikan ke atasnya, bagi atau berkenaan dengan apa-apa hutang atau sebarang tuntutan.

Pegawai Pemegang Harta juga tidak berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas sebarang jumlah wang atau amaun berkenaan.

Namun di bawah Seksyen 51 (2) diperuntukkan, apa pun subseksyen (1), amaun yang ada pada kredit seseorang ahli KWSP di bawah perenggan (1)(c) boleh dilucutkan hak jika amaun yang ada pada kredit ahli itu adalah tertakluk kepada suatu perintah pelucutan hak oleh mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Beliau dipetik berkata, kaedah itu adalah langkah terbaik bagi memastikan wang simpanan pencarum tidak dikeluarkan, namun pada masa sama mereka yang terdesak boleh mendapatkan sumber kewangan dengan meminjam bank untuk kelangsungan hidup.

Namun, pengumuman Anwar itu kurang dipersetujui ramai pihak termasuk pakar ekonomi dan pencarum sendiri kerana kaedah itu menambahkan lagi beban mereka yang terpaksa menanggung komitmen tambahan bayaran bulanan dan kadar faedah dikenakan bank.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 10:23 AM