Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Ipoh: Kerajaan menafikan langkah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan wang caruman sebagai cagaran kepada bank untuk pembiayaan kewangan bercanggah dengan Akta KWSP 1991.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu sudah dibincang dan diperhalusi bersama pihak KWSP sebelum kaedah itu diumumkan oleh beliau di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Jelasnya, kebenaran kepada pencarum menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran bank adalah bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun berhadapan kesulitan.

"Kita tidak benarkan orang ramai keluarkan caruman KWSP lagi kerana ini bukan waktu Covid-19 lagi, mereka boleh kerja, tetapi ada beberapa kes mendesak dimaklumkan kepada kita.

"Umpamanya dia ada wang, tetapi tak dapat bayar yuran pendidikan anak di luar negara dan kita tak benar keluarkan KWSP, jadi boleh guna kaedah itu tetapi dengan syarat yang ketat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Air Sedunia (HAS) 2023 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan EXCO Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan ucapannya di Dewan Rakyat berkenaan kaedah menggunakan caruman KWSP sebagai cagaran bank perlu diteliti sebelum mana-mana pihak mengeluarkan pandangan.

"Biasalah (ada pihak tidak berpuas hati dengan kaedah itu), kalau ikut saya memang tak bagi lagi (pengeluaran KWSP), tapi ada beberapa kes keperluan mendesak perlu dipertimbangkan.

"Ada kes kita lihat munasabah sebab dia (pencarum) mungkin ada wang yang banyak di KWSP jadi kita boleh benarkan (jadi cagaran bank)," katanya.

Khamis lalu, Anwar mengumumkan kerajaan akan memperkenal kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Beliau berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang 'terdesak' untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Bagaimanapun, timbul dakwaan mengatakan tindakan membenarkan caruman KWSP dijadikan sebagai cagaran sebagai melanggar undang-undang mengikut Akta KWSP 1991 berikutan simpanan itu hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan tertentu sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 1:49 PM