Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pinjaman bank dengan cagaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bercanggah dengan Seksyen 51, Akta KWSP.

Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah dirujuk dengan penasihat undang-undang KWSP dan peguam negara.

"Tentunya dari segi penasihat undang-undang KWSP dan peguam negara telah dirujuk. Tidak ada percanggahan dengan Seksyen 51.

"Bagaimanapun, dari sudut jaminan kepentingan peminjam, dividen akan diteruskan. Walaupun dia beri cagaran umpamanya RM50,000 sebagai pinjaman tetapi dividen itu akan diberikan sepenuh ikut kumpulan asal. Jadi tidak dipotong.

"Oleh demikian, KWSP merasakan dalam beberapa tahun, pulangan itu dapat diperoleh," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN - Sungai Besar) yang menyatakan adakah beliau telah mendapat mendapat nasihat daripada Peguam Negara mengenai pandangan pelbagai pihak bahawa pinjaman ini melanggari Seksyen 51, Akta KWSP dan apakah kaedah pengurusan risiko sekiranya peminjam gagal melunaskan pinjaman.

Anwar sebelum ini berkata, kerajaan bersetuju memperkenal kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman.

Katanya, kaedah itu boleh ditawarkan kepada pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Dalam pada itu katanya, sekiranya ada beberapa jumlah kecil peminjam yang gagal gagal melunaskan pinjaman, ia tidak akan memberi kesan parah kerana jumlah induk dan dividen telah ditambah.

"Kalaulah ada beberapa jumlah kecil yang gagal membayar, tidak memberi kesan yang parah kerana jumlah induk dan dividen sudah ditambah.

"Jadi potongan mungkin dari sudut dividen. Risiko itu sefaham saya, sangat minima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 11:16 AM