Bangunan KWSP
Bangunan KWSP

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi.

Pinjaman peribadi berkenaan boleh dibuat melalui sistem perbankan bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.

KWSP dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

"Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa akan datang," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan bersetuju memperkenal kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman.

Beliau berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan, dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Bagaimanapun, katanya mereka yang dicadangkan boleh melakukan pengeluaran itu hanya tertumpu kepada pencarum yang mempunyai wang dalam KWSP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 1:05 PM