GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) membantah keputusan kerajaan membenarkan penggunaan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman.

Presidennya Azmi Mohd Tahir berkata, cadangan yang menjurus kepada bentuk pinjaman adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

"Ini (menjadikan wang KWSP sebagai cabaran untuk membuat pinjaman) akan mengambil masa lama sedangkan pencarum berada dalam keadaan terdesak ketika ini.

"Ia duit simpanan titik peluh pencarum dan jangan dinafikan apabila pencarum menghadapi kesukaran serta kesusahan demi kelangsungan hidup mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berharap wakil rakyat menolak cadangan itu di sidang Parlimen, demi membela nasib rakyat yang terkesan.

Khamis lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju memperkenal kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman.

Beliau dipetik berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan, dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Susulan pengumuman itu, pelbagai pihak tampil menyuarakan rasa tidak puas hati dan mahu kerajaan mempertimbangkan pengeluaran caruman KWSP kepada individu terkesan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani turut dilaporkan berkata, kaedah pinjaman dengan menjadikan wang KWSP sebagai cagaran kepada bank hanya bersifat sementara dan bukannya penyelesaian masalah pencarum secara keseluruhannya.

Mohd Effendy menyifatkan langkah itu cenderung menambah beban hutang kepada pencarum kerana perlu membayar faedah pinjaman bank.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman dilapor mencadangkan institusi kewangan menawarkan kadar faedah lebih rendah khusus bagi peminjam yang mahu mencagar wang KWSP mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 1:26 PM