KEBAKARAN yang memusnahkan 9 unit rumah Kampung Wireless di Jalan Permaisuri awal pagi. FOTO Erika George
KEBAKARAN yang memusnahkan 9 unit rumah Kampung Wireless di Jalan Permaisuri awal pagi. FOTO Erika George
Erika George


Miri: Seramai 80 penghuni hilang tempat berteduh apabila sembilan rumah di Kampung Wireless di Jalan Permaisuri di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 7.15 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan sembilan rumah jenis tidak kekal yang dibina berhampiran antara satu sama lain itu," katanya dalam kenyataan.

Katanya, anggota operasi memulakan kerja memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran air dari pili bomba berhampiran.

Turut membantu memadam kebakaran pasukan BBP Lopeng dan BBP Lutong sebelum api berjaya dikawal daripada merebak ke kediaman berdekatan.

Difahamkan Kampung Wireless mempunyai 100 buah kediaman.

"Kebakaran tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri.

"Kesemua mangsa dipindahkan sementara ke Dewan Masyarakat Lereng Bukit sementara menunggu bantuan susulan tiba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 2:57 PM