Kebakaran memusnahkan 15 rumah di Pujut Corner, Miri, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Kebakaran memusnahkan 15 rumah di Pujut Corner, Miri, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua individu cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan 15 rumah di Jalan Pukut Corner di Miri, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa seorang lelaki melecur di paha dan belakang badan, manakala seorang wanita pula cedera di kaki kanan selepas terjatuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian menyebabkan 12 rumah musnah manakala dua lagi musnah separuh dan sebuah lagi hangus kira-kira lima peratus.

Beliau berkata, 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, BBP Lutong dan BBP Miri dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 2.33 petang.

"Keseluruhannya seramai 65 penghuni rumah jenis tidak kekal terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 6.35 petang dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 8:53 PM