KEBAKARAN yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Padang Kerbau malam tadi. FOTO Erika George
KEBAKARAN yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Padang Kerbau malam tadi. FOTO Erika George
Erika George


Miri: Wanita warga emas berusia 60 tahun melecur pada bahagian tangan dan dahi selepas rumahnya di Kampung Padang Kerbau, di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, anak lelaki mangsa yang turut berada di rumah semasa kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.17 malam," katanya.

Menurutnya, setiba di lokasi, pasukan bomba yang diketuai Komander Operasinya, Hamdani Madon mendapati api marak memusnahkan sebuah rumah jenis kekal.

"Pasukan bomba kemudiannya memulakan kerja memadam kebakaran dengan punca air dari pili bomba berdekatan.

"Pasukan mengambil masa hampir tiga jam untuk memadam kebakaran dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 12.52 tengah malam," katanya.

Jurucakap itu berkata, mangsa yang melecur diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik sebelum dihantar ke Hospital Miri.

"Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.

"Mujurlah kebakaran tidak mendatangkan kemalangan jiwa kerana kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 10:33 AM