Kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Nangka pagi tadi.
Kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Nangka pagi tadi.
Oleh Erika George


Sibu: Kebakaran yang memusnahkan tiga rumah di Kampung Nangka di sini pagi ini menyebabkan 16 penghuni hilang tempat berteduh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 10.43 pagi.

"Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan kesemua kediaman jenis tidak kekal itu," katanya.

Pasukan BBP Sibu dengan bantuan BBP Sungai Merah kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula yang mana air diperoleh dari tangki jentera pemadam dan pili bomba berdekatan.

Selepas hampir dua jam bertungkus-lumus memadam kebakaran yang berlaku, api akhirnya berjaya dikawal pada jam 12 tengah hari.

Menurut beliau, selepas api benar-benar terkawal dan tiada berlakunya kebakaran berulang, pasukan bomba menamatkan operasi memadam kebakaran pada jam 1 tengah hari.

Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 4:27 PM