Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Malaysia dan Indonesia dijangka menandatangani Perjanjian Lintas Batas (CBA) tahun ini sebagai usaha keselamatan sebaik ibu kota baharu negara jiran itu, Nusantara di Kalimantan dibangunkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini kedua-dua pihak dalam proses menyemak beberapa perkara utama khususnya berkaitan ancaman keselamatan terutama penyeludupan manusia dan dadah.

"Pertama, mesti libatkan kerjasama dua negara. Dalam kes ini di antara Malaysia dan Indonesia. Sekarang kita dalam fasa pembikinan memuktamadkan satu perjanjian dipanggil CBA.

"Dari segi carta perbatuan atau milestone, ia dijangka akan ditandatangani apabila Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat Malaysia tahun ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang bertanya apakah langkah proaktif untuk meningkatkan tahap keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan kawasan sekitarnya terutama membabitkan aset penting negara berkaitan Malaysia-Indonesia.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tiga perkara sedang dimuktamadkan dalam proses semakan kementerian itu.

"Benar, apabila kita buka pintu keluar masuk di sempadan, ia terkait dengan isu keselamatan, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penyeludupan senjata dan ancaman keselamatan yang lain. Jadi apa ikhtiar kita, pertama, senarai pintu masuk iaitu yang sedia ada, yang diwartakan dan kemungkinan pintu masuk baharu yang mesti dipersetujui.

"(Perkara ini) sekarang sedang dimuktamadkan dalam perjanjian yang sedang dalam pembikinan," katanya.

Saifuddin berkata, Malaysia dan Indonesia juga sedang memuktamadkan kawasan akses untuk rakyat kedua-dua negara.

"Apabila pintu masuk dibuka, aliran keluar masuk rakyat di dua negara ini akan berlaku. Di situlah kalau tidak berhati-hati, ada potensi memungkinkan ancaman atau pelanggaran (peraturan). Kedua-dua negara sedang berunding untuk memuktamadkan kawasan di mana penduduk dua negara dibenarkan berada," katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri juga sedang melakukan semakan terhadap elemen perundangan khususnya bagi menjamin keselamatan negara secara menyeluruh.

SAIFUDDIN Nasution. FOTO Arkib NSTP
SAIFUDDIN Nasution. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 12:04 PM