Saifuddin ketika menyampaikan ucapan pada  Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Pangsapuri Aliff Sejahtera Johor Bahru antara PIJ Property Development dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Malaysia di Pangsapuri Aliff Sejahtera, 38, Jalan Tampoi, Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Saifuddin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Pangsapuri Aliff Sejahtera Johor Bahru antara PIJ Property Development dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Malaysia di Pangsapuri Aliff Sejahtera, 38, Jalan Tampoi, Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 sempadan diwartakan di seluruh negara, dijangka mula dilaksanakan, tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata butiran penting mengenai agensi tunggal berkenaan sedang diperincikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi hari ini di Putrajaya.

Katanya, KDN akan mula melaksanakan projek perintis agensi tunggal sempadan negara itu selepas butiran penting terutama pelaksanaan dan struktur agensi berkenaan diputuskan.

"Susulan pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan lalu, Jemaah Menteri memutuskan KDN untuk menerajui pembentukan SBA.

"Susulan itu, mesyuarat dilakukan bagi menentukan butiran penting pelaksanaan SBA terutama membabitkan struktur, organisasi perjawatan selain menyegerakan penubuhan agensi ini, Insya-Allah yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

"Modul pelaksanaan SBA ini boleh melihat kepada pelaksanaan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) selain penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), malah contoh di negara jiran Singapura adalah Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di republik berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikam Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian secara 'En Bloc' Pangsapuri Aliff Sejahtera Johor Bahru untuk Kuarters Jabatan Imigresen Malaysia antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Malaysia dan PIJ Property Development Sdn Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kabinet bulan lalu dilaporkan akan memuktamadkan penubuhan SBA bagi mengawal selia pintu masuk negara dalam masa terdekat.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Pada 20 Januari lalu pula, Saifuddin dilaporkan berkata, inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 adalah bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tujuan utama SBA yang digariskan Jemaah Menteri adalah untuk mengkoordinasi pelbagai agensi kawalan dan penguatkuasaan di sempadan negara yang diwartakan.

"Selain itu SBA akan bertanggungjawab meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan di sempadan negara apabila pelbagai agensi diletakkan di bawah satu agensi serta memperkemas isu integriti sempadan negara," katanya.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:41 PM