OTHMAN (dua kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada Habshah (kanan) sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Kampung Belakang Pekan Kuak, Lenggong, hari ini. FOTO Abdullah Yusof
OTHMAN (dua kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada Habshah (kanan) sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Kampung Belakang Pekan Kuak, Lenggong, hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop


"PERBELANJAAN keluarga meningkat selepas saya disahkan menghidap kanser payu dara setahun lalu kerana terpaksa berulang-alik tiga minggu sekali ke Hospital Taiping untuk rawatan kemoterapi.

"Bantuan diberikan Harian Metro ini sedikit sebanyak meringankan beban kewangan kami terutama untuk berulang-alik ke hospital," kata Habshah Ahmad, 61.

Habsah adalah salah seorang penerima bantuan di Kampung Belakang Pekan Kuak, Lenggong sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), hari ini.

Selain menerima pelbagai barangan keperluan harian antaranya beras, gula dan minyak masak, Harian Metro turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga berkenaan.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengarang Eksekutif, Projek Khas The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Othman Mamat.

Turut hadir, Ketua Komunikasi Korporat NSTP Wan Abdillah Wan Nawi, Ketua Biro NSTP Perak Jalal Ali Mohd Abdul Rahim, Penghulu Mukim Lenggong Noor Adzahar Mohd Yunus dan Penghulu Mukim Durian Pipit Mohd Rizal Nordin.

Habshah berkata, pendapatan keluarganya bergantung kepada suaminya Shahbudin Ishak, 54, yang mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan kurang RM400 sebulan.

Katanya, pendapatan itu tidak mencukupi kerana perlu menampung perbelanjaan sekolah anaknya, Mohamad Yusof, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kati, Lenggong.

"Sebelum ini saya mengambil upah mengurut dan pendapatan itu dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan harian keluarga, namun selepas disahkan menghidap kanser, saya tidak mampu lagi untuk mengurut.

"Setiap kali pulang selepas menjalani rawatan kemoterapi, keadaan saya menjadi lemah dan sehingga kini sudah lima kali saya menjalani rawatan itu," katanya yang ditemui selepas menerima sumbangan berkenaan.

Menurut Habshah, dia berterima kasih kepada Harian Metro kerana memilihnya sebagai penerima dan berharap lebih banyak syarikat swasta tampil memberi bantuan bagi meringankan beban ditanggung keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, keluarganya juga memerlukan bantuan termasuk membaikpulih bahagian atas rumahnya yang rosak di bahagian alang dan lantai yang reput.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 6:13 PM