ZURAINI (kiri) memberi nasihat kepada bapa pesakit kanser supaya membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital berikutan keadaan anaknya yang semakin lemah dan tidak percayakan bomoh. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZURAINI (kiri) memberi nasihat kepada bapa pesakit kanser supaya membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital berikutan keadaan anaknya yang semakin lemah dan tidak percayakan bomoh. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Terlalu taksub dan percayakan rawatan bomoh sehingga sanggup membiarkan pesakit kanser terlantar di rumah tanpa rawatan hospital.

Perbuatan itu menyebabkan ada di kalangan pesakit kanser terpaksa menanggung derita apabila kanser yang dialami merebak ke seluruh badan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berikutan pengalamannya ketika bertemu dengan pesakit kanser di negara ini.

Zuraini berkata, hampir 95 peratus pesakit kanser mengakui mereka menggunakan khidmat bomoh kampung yang mendakwa mampu merawat pesakit itu tanpa perlu menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, dalam program ziarah CSM hari ini, pihaknya bertemu dengan keluarga pesakit kanser tahap empat yang mendakwa hanya bertemu dengan bomoh untuk memulihkan kanser yang dihidapi.

"Sudah banyak kali nasihatkan semua pesakit supaya mendapatkan rawatan hospital tetapi masih ada yang percaya pada bomoh.

"Saya terpaksa memberi nasihat berulang kali kepada keluarga pesakit kerana saya sendiri bekas pesakit kanser dan perlu melalui pelbagai rawatan yang disarankan doktor.

"Jika terus bertemu bomoh, ia hanya menyebabkan wang banyak habis kerana perlu membawa barangan yang diminta malah ada barangan yang tidak munasabah seperti kain kapan, paku dan sebagainya," katanya ketika ditemui hari ini.

Zuraini berkata, dalam pertemuannya dengan sebuah keluarga di bandar raya ini, hari ini, dia terkejut apabila diberitahu pesakit kanser itu terlantar di atas katil dalam keadaan tidak bermaya kerana bapanya tidak membenarkan anaknya dihantar ke hospital.

Katanya, dalam kes seperti ini, ia seperti 'menyeksa' pesakit kerana dia seharusnya menjalani rawatan lanjut termasuk kemoterapi.

"Akibatnya pesakit hanya terlantar di atas katil dengan keadaannya semakin lemah dan apabila ditanya bapa pesakit gagal memberi alasan yang munasabah.

"Walaupun pesakit terlambat menerima rawatan namun atas nasihat yang diberikan, mereka bersetuju untuk menghantarnya ke hospital dengan segera," katanya.

Zuraini berkata, sempena meraikan sambutan Hari Kanser Sedunia, beliau turut menasihatkan pesakit kanser di negara ini supaya mendapatkan segera rawatan kerana ia boleh merebak dengan cepat.

Sementara itu seorang pesakit kanser payu dara, Jamilah Ahmad, 53, berkata, dia pernah mendapatkan rawatan bomoh sebelum ini yang bertujuan untuk menyembuhkan penyakitnya itu.

Katanya, bomoh di Pulau Pinang itu menetapkan harga sebagai 'pengeras' untuk berubat sebanyak RM120 untuk sekali rawatan.

"Namun dia memberi syarat supaya pesakit tidak menjalani rawatan di hospital atau kemoterapi.

"Bomoh itu beri bedak sejuk dan sireh pinang supaya saya amalkan setiap hari sehingga 'sembuh' tapi di pertengahan jalan, saya buang semuanya kerana rawatan itu mencurigakan," katanya ketika dihubungi.

Jamilah berkata, selepas rawatan itu, ketulan di payu daranya semakin membengkak menyebabkan dia mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, dia menghidap kanser payu dara pada tahun 2011 dan pernah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali.

"Kalau nak kira jumpa bomoh ni, saya dah habis wang sebanyak RM300 termasuk berjumpa bomoh kampung untuk ambil air penawar.

"Namun rawatan hospital lebih baik kerana kanser payu dara yang saya alami makin berkurangan dan pada 22 Februari ini saya akan berjumpa dengan pakar di hospital untuk melihat kesan ketulan pada payu dara kiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 1:33 PM