NUR Hayati (tiga dari kanan) ketika menyertai NGO Cancer Survivors Malaysia (CSM) menziarahi pesakit kanser di Hospital Umum Sarawak, baru-baru ini.
NUR Hayati (tiga dari kanan) ketika menyertai NGO Cancer Survivors Malaysia (CSM) menziarahi pesakit kanser di Hospital Umum Sarawak, baru-baru ini.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Selepas melalui 50 kali rawatan kemoterapi akibat kanser payu dara, seorang bekas kakitangan sebuah bank seperti mendapat kehidupan baru selepas disahkan bebas daripada penyakit dideritainya sejak 2019.

Ia sama sekali merubah hidup Nur Hayati Sahak, 44, bersama suami, Mohammad Hamri Ibrahim, 38, selepas mereka hampir berputus asa dengan ujian itu.

Mohammad Hamri berkata, sejak disahkan menghidap kanser berkenaan, kehidupan mereka terpaksa mengasingkan diri dengan dunia luar termasuk ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan.

"Bila ada yang hubungi untuk berjumpa dan datang ke rumah, kami cuba mengelak dan tidak benarkan sesiapa datang kerana bimbang mengganggu emosi isteri ketika itu," katanya ketika ditemui.

Katanya, selepas itu, isterinya menjalani pembedahan membuang payu dara kanan untuk mengelak sel kanser ketika itu sudah merebak ke tulang belakang dari terus merebak.

"Sebagai suami yang juga penjaga pesakit kanser, saya akui agak mencabar apabila ketika itu terpaksa berulang alik menemani isteri selain menghantar anak tunggal kami yang ketika itu berusia sembilan tahun ke sekolah.

"Lebih menyedihkan apabila isteri diberhentikan kerja sebagai pegawai bank di Petaling Jaya sewaktu pandemik Covid-19 melanda," katanya.

Mohammad Hamri berkata, sejak itu isterinya menjalani rawatan kemoterapi setiap tiga minggu sekali selain 25 kali rawatan radioterapi yang perlu dilakukan setiap hari.

Katanya, cabaran yang lebih dirasai apabila tiga kali rawatan kemoterapi awal tidak sesuai dan perlu menukar ubat menyebabkan isterinya terpaksa menambah pusingan daripada enam pusingan kepada sembilan pusingan kemoterapi.

"Bayangkan dengan keadaan saya ketika itu yang sibuk menguruskan isteri dan anak hinggakan berhabis lebih RM200,000 untuk kos rawatan, ulang alik ke hospital dan sebagainya.

"Pada 2021, doktor memaklumkan sel kanser sudah tiada menyebabkan saya sangat gembira melihat keadaan isteri yang makin baik namun tahun lalu, kanser itu menyerang semula dan menjalani pembedahan membuang ovari pada awal tahun ini," katanya yang turut menyertai Cancer Survivors Malaysia (CSM).

Katanya, peluang untuk bersama-sama dengan badan bukan kerajaan itu digunakan untuk berkongsi pengalaman serta memberi semangat dan sumbangan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 7:01 AM