Kapal Kargo Mv Dai Cat 06 yang hilang sejak 1 Januari lalu. FOTO IHSAN FB Maritim Johor
Kapal Kargo Mv Dai Cat 06 yang hilang sejak 1 Januari lalu. FOTO IHSAN FB Maritim Johor
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Laut Malaysia dan Kumpulan Wang Pusat Pedagangan Laut (KWPPL) menganjurkan solat hajat bagi kesemua lima anak kapal MV Dai Cat 06 yang hilang sejak 1 Januari lalu.

Menerusi hantaran Facebook Jabatan Laut Malaysia, solat hajat itu akan diadakan serentak pada malam ini selepas solat Isyak di lokaliti masing-masing sama ada di Masjid kariah, rumah atau atas kapal.

Pihaknya turut meminta keluarga anak kapal terbabit bersabar dengan ujian ini.

"Jabatan Laut Malaysia dan KWPPL menyeru seluruh warga besar pelaut di mana pun berada dan juga rakyat Malaysia amnya untuk bersama-sama menunaikan solat hajat bagi memohon ke hadrat Allah SWT supaya semua anak kapal MV Dai Cat 06 seramai lima orang diberikan keselamatan dan dapat dijumpai dalam keadaan selamat.

"Disamping itu juga mendoakan keluarga pelaut yang terbabit bersabar dengan ujian yang berat ini dan seterusnya operasi cari lamat berlangsung dengan lancar dan berjaya," maklumnya di sini hari ini.

Pada 10 Januari lalu, akhbar ini melaporkan kehilangan kapal MV Dai Cat 06 yang didedahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Lima kru kapal kargo MV Dai Cat 06 membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia.

Nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dan berasal dari Indonesia.

Jurutera kanan kapal juga adalah warga Indonesia iaitu Damai Papane Ole, 57, manakala Ketua Operasi kapal ialah Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, yang juga warga tempatan.

Dua lagi warga tempatan ialah Mohammad Sudeh Sudin, berusia 20 tahun dan Derrent Littor, berumur 22 tahun merupakan warga tempatan.

Kapal berukuran 52 meter itu membawa 527 batang besi bernilai RM726,205.

Kapal MV Dai Cat 06 yang keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 4:46 PM