KAPAL Kargo MV Dai Cat 06 hilang.
KAPAL Kargo MV Dai Cat 06 hilang.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Kami belum dapat sebarang perkembangan mengenainya (kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang 9 Januari lalu). Kami masih menunggu kemas kini daripada agensi marin Indonesia," itu kata Jimmy Tran.

Beliau yang juga pengarah syarikat kapal berkenaan menjelaskan pihaknya gagal berhubung dengan MV Dai Cat 06 pada 3 Januari lalu.

Ketika ditanya kali terakhir berhubung dengan kapal berkenaan, Jimmy berkata, dia perlu mendapatkan maklumat daripada pengurus operasi.

Jimmy yang dihubungi Harian Metro bagaimanapun berkata dia merasakan kru kapal berkenaan berada dalam keadaan selamat.

"Kemungkinan ada masalah kerosakan pada kapal itu tetapi ini saya tak dapat pastikan," katanya.

Jimmy berkata, ketika berhubung dengan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) hari ini, dia dimaklumkan agensi berkenaan akan meneruskan pencarian di kawasan pulau-pulau kecil.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan usaha mengesan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang Isnin lalu masih diteruskan Basarnas di perairan Natuna, negara itu.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya turut mengatur gerak aset APMM Sarawak bagi membantu pencarian di sempadan Malaysia-Indonesia iaitu di perairan Tanjung Datu sehingga ke perairan Kuching.

Beliau berkata APMM juga sedang menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah berhubung kehilangan kapal itu.

"Pencarian pada hari ini tertumpu di kawasan terakhir isyarat kecemasan Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) yang dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) menggunakan Sistem COSPAS-SARSAT," katanya.

Mohd Zubil berkata, pencarian hari ini membabitkan satu bot dan satu kapal dari Ibu Pejabat Bahagian Mencari dan Menyelamat (SAR) Natuna serta satu bot dari Ibu Pejabat Bahagian Mencari dan Menyelamat SAR Pontianak, Indonesia.

Katanya, kru yang berada dalam kapal yang hilang itu dikenali sebagai Adi warga Indonesia berusia 46 tahun, bertindak sebagai master kapal (ketua); Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24 tahun sebagai Ketua Pegawai (Malaysia); Damai Papane Ole, 57, sebagai Ketua Jurutera (Indonesia); Derrent Littor, 22, Kelasi (Malaysia) dan Mohammad Suhaideh Sudin, 22, sebagai Kelasi (Malaysia).

Harian Metro pada Selasa melaporkan kehilangan MV Dai Cat 06 yang didedahkan oleh APMM.

Kapal kargo berukuran 52 meter panjang itu membawa 527 batang besi bernilai RM726,205 dilaporkan keluar dari Kampung Acheh, Perak pada 23 Disember lalu menuju ke Kuching, Sarawak dan sepatutnya tiba pada 31 Disember lalu.

Kelmarin, Basarnas turut berusaha mengesan kapal berkenaan di barat laut Pemangkat, Indonesia.

Sehingga kini, masih tiada gambaran jelas kejadian menimpa kapal dan kru MV Dai Cat 06.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:36 PM