Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin hadir menyaksikan perbahasan usul pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin hadir menyaksikan perbahasan usul pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Adakan pertandingan bagi jawatan tertinggi termasuk presiden dan timbalan presiden pada pemilihan UMNO sebagai membuktikan demokrasi masih segar dalam parti dan mengembalikan sokongan rakyat.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan Muhammad Sufian Maradzi yang tidak bersetuju dengan tindakan 140 Ketua Bahagian UMNO supaya jawatan presiden disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan.

Sebaliknya jawatan tertinggi parti itu perlu terbuka untuk dipertandingkan bagi memberi peluang kepada anak muda melakukan perubahan demi kelangsungan parti.

"Jangan lagi ada agenda tidak mahu mempertandingkan jawatan tertentu sebab ini adalah demokrasi, sedangkan dalam Islam pun mengajar kita meraikan demokrasi.

"Kita di peringkat Pemuda jangan dimomokkan lagi seperti di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak ada pertandingan peringkat jawatan presiden dan timbalan presiden.

"Kita tidak mahu anak muda seolah-olah diikat. Kami tetap setia kepada perjuangan parti bahkan kami tidak lari tetapi janganlah diikat supaya tidak diadakan pemilihan kerana kami yakin sekiranya kepimpinan menjaga parti dengan betul, Insya-Allah kepimpinan itu akan terus dipilih oleh perwakilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti dijangka Mei nanti.

Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah dipetik berkata, tumpuan kini terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 4:38 PM