Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Umno bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin yakin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid seorang pejuang dan tidak gentar menghadapi pencabar untuk merebut jawatan presiden parti berkenaan.

Khairy dalam laman sosial Instagramnya berkata Umno seharusnya membuka ruang jawatan presiden untuk dipertandingkan bagi mengekalkan demokrasi dalam parti politik Melayu itu.

"Hentikan kegilaan ini, saya rasa presiden seorang pejuang (fighter) yang tidak gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam Umno," katanya.

Khairy berkata demikian bagi menjawab penulisan yang memaklumkan 126 Ketua Umno Bahagian sokong jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Menerusi tulisan itu, pihak terbabit turut mempersoalkan adakah Umno itu hanya milik ketua bahagian saja dan apakah para perwakilan dan akar umbi tidak mempunyai hak untuk memilih ketua mereka.

Sebelum ini, BH melaporkan seramai 140 ketua Umno bahagian menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian Umno, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, berkata ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dengan tegasnya memaklumkan beliau sedia untuk dicabar oleh sesiapa saja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, sebelum ini beliau juga pernah dicabar dalam pemilihan pada 2018, namun kedua-dua pencabarnya gagal memperoleh undi yang banyak.

Pada Pemilihan Umno 2018, Ahmad Zahid diangkat sebagai Presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan kedudukan itu dan mengalahkan pencabarnya.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pencabar termasuk Ketua Pemuda Umno yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika itu, Khairy yang mendapat 51 undi dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang memperoleh 23 undi.

Dua lagi pencabarnya yang kurang dikenali iaitu ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli Umno Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaluddin gagal memperoleh sebarang undi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 10:51 AM