AHMAD Zahid Hamidi pada Debat Calon Presiden UMNO dari Kompleks UMNO Bagan Datuk, malam semalam. FOTO Abdullah Yusof
AHMAD Zahid Hamidi pada Debat Calon Presiden UMNO dari Kompleks UMNO Bagan Datuk, malam semalam. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


PEMILIHAN UMNO yang mempertandingkan semua jawatan tertinggi kali ini memperlihatkan demokrasi sebenar diterjemahkan sepenuhnya dalam parti itu selepas 30 tahun.

Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan ini jelas membuktikan kehendak akar umbi didengar dan diketengahkan selepas sekian lama tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi dalam UMNO.

“Saya merasakan bahawa demokrasi tulen diterjemahkan sepenuhnya dalam UMNO di mana sejak 1988 tidak ada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Apabila saya mendengar suara akar umbi dan membawa kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk membuka semua jawatan untuk dipertandingkan, jelas bahawa kemeriahan dalam pertandingan ini dapat dirasakan di bahagian akar umbi hingga ke peringkat nasional.

“Tentunya kita juga tidak harus lagi menangguhkan pemilihan yang berlangsung setiap tiga tahun sekali dalam proses untuk menterjemahkan demokrasi, biarpun piagam dan perlembagaan kita mengizinkannnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Debat Calon Presiden UMNO dari Kompleks UMNO Bagan Datuk secara langsung melalui saluran Astro Awani, malam semalam.

Program itu turut menjemput dua lagi calon Presiden UMNO iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin yang berlintas langsung bersama Ahmad Zahid dari Studio Astro Awani di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga berharap melalui kaedah tidak menyekat sebarang pertandingan dapat membantu merakyatkan semula UMNO seterusnya membuka peluang kepada golongan profesional Melayu dan Bumiputera untuk terbabit secara langsung dalam menentukan dasar dan membuat keputusan dalam parti itu.

“Pada hemat saya, kita harus melihat tidak ada lagi hulubalang politik atau 'warlord' yang cuba menyekat ahli baharu masuk ke cawangan, dan kepimpinan bahagian yang cuba melakukan sesuatu supaya diri mereka tak ditandingi dan dicabar (di peringkat bahagian).

“Kita perlu keluar dari kepompong dan melalui 15 manifesto yang sudah saya bentangkan dan teliti, saya yakin jika diberikan mandat (dipilih sebagai Presiden) kesinambungan kepimpinan UMNO, saya tidak akan statik dan jumud,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 12:16 AM