AHMAD Zahid ketika ucapan Dasar Presiden. FOTO FOTO Aswadi Alias
AHMAD Zahid ketika ucapan Dasar Presiden. FOTO FOTO Aswadi Alias
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia sekiranya jawatan disandangnya itu dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung Umno.

Beliau mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai pemilihan parti khususnya jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

"Ada yang mahu kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan.

"Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya," katanya semasa Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau Khairy Jamaluddin menerusi Instagram berkata, Umno seharusnya membuka ruang jawatan Presiden dipertandingkan bagi mengekalkan demokrasi dalam parti politik Melayu itu.

Ia susulan seramai 140 Ketua Umno Bahagian menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil kemudian dilaporkan berkata, Umno bersifat terbuka dan meminta individu yang berhasrat menjadi calon mengumumkan perkara itu lebih awal.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin ahli Umno boleh membuat penilaian terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 11:41 AM