AHMAD Zahid. FOTO Bernama.
AHMAD Zahid. FOTO Bernama.
Mohd Iskandar Ibrahim dan Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Tidak akan ada rundingan terus dalam pelaksanaan pelan pengurusan bencana banjir jangka panjang sehingga 2100, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelaksanaan pelan dengan unjuran perbelanjaan hampir RM297 bilion itu perlu diberikan kepada syarikat yang layak dan mampu melaksanakannya.

"Kita harus melihat dari segi penyelesaian menyeluruh iaitu penyelesaian yang dirancang oleh agensi tertentu hingga tahun 2100. 78 tahun daripada sekarang, perbelanjaan yang diunjurkan hampir RM297 bilion.

"(Ini) satu jumlah yang besar tetapi jangan harus ada rundingan terus, tetapi diberikan kepada syarikat yang layak, syarikat yang mampu melakukannya, bukan untuk individu atau ahli politik yang mempunyai kepentingan kepada syarikat itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada program temubual Naratif Khas yang disiarkan di RTM hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, beliau tidak menyentuh mana-mana individu dalam isu terbabit.

Namun tegasnya, permasalahan rakyat yang sering berdepan banjir serta bencana lain perlu ditangani segera.

"(Begitu juga) isu tanah runtuh, berlaku hakisan di pantai, hakisan di tebing bukit dan gunung, berlaku juga masalah penggondolan di kawasan-kawasan tadahan hujan, penarahan kawasan yang tidak sepatutnya ditarah untuk pembangunan, ini harus diselesaikan.

"Ini termasuk pemanasan global apabila ozon semakin nipis dan kepanasan itu berlebihan dan perkara ini harus diatasi, itulah soal iklim dan alam sekitar juga harus diambil kira dalam hal bencana negara ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pelan jangka panjang yang dirancang agensi dan jabatan tertentu itu turut merangkumi pelan mitigasi banjir

"Itulah dipanggil pengurusan banjir…maknanya langkah segera perlu dilakukan termasuklah Smart City di mana berlaku banjir kilat (misalnya) di Kuala Lumpur suatu ketika ada Terowong Smart dan harus ada banyak lagi Terowong Smart di bandar lain.

"Pada waktu sama, di Shah Alam baru-baru ini berlaku banjir, bukan banjir kilat, bagi saya ia (kerana) pengurusan saliran di kawasan bumi yang indah itu.

"Jadi, ia mesti tidak hanya mengorek sungai yang ada tetapi mesti ada satu pelan bagaimana air berlebihan disebabkan hujan harus diletakkan dan dilepaskan pada musim kering," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 11:05 PM