TUAN Ibrahim pada sidang media di Pusat Kawalan Smart. FOTO Hazreen Mohamad
TUAN Ibrahim pada sidang media di Pusat Kawalan Smart. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur sedang melaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf kolam takungan banjir di sekitar pusat bandar ini termasuk Kolam Takungan Batu, di sini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada fasiliti yang masih belum disiapkan termasuk dua Projek Mitigasi Banjir di Sungai Bonus dan Sungai Batu.

"Secara keseluruhannya, kerajaan meluluskan kira-kira RM3 billion bagi projek tebatan banjir temasuk Terowong Smart.

"Namun, ada beberapa projek yang belum disiapkan kerana terdapat kelewatan termasuk dua projek berkenaan yang dijangka siap pada 2024. Bagaimanapun, isu berkenaan sudah diatasi dengan penukaran kontraktor," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan SMART, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, bagi tempoh 50 tahun, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM393 billion sebagai dana untuk projek penyelesaian jangka panjang isu banjir.

"Ada beberapa perkara yang harus dilihat dalam isu banjir termasuk mekanisme aliran air berjalan lancar. Pembinaan Terowong Smart dilihat berkesan mengatasi isu ini.

"Bagaimanapun jika hujan terlalu lebat, ia akan mengakibatkan aliran longkang dipenuhi air sekali gus menyebabkan risiko berlakunya banjir," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan ketepatan ramalan cuaca di Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebagai langkah mempersiapkan orang ramai menghadapi banjir.

"Kita akan mengeluarkan amaran awal kepada penduduk yang terjejas dan pada masa sama menggalakkan masyarakat mengambil tahu setiap maklumat dikeluarkan pihak berkuasa," katanya.

Mengulas mengenai kejadian banjir kilat melanda ibu negara petang tadi, beliau berkata, semua infrastruktur sistem kawalan banjir di bawah seliaan JPS Kuala Lumpur beroperasi dengan baik.

"Rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Lencongan Terowong Smart diaktifkan pada mod 2B pada 3.40 petang, mod 2 pada 3.58 petang dan seterusnya mod 3 pada 4.44 petang," katanya.

Menurutnya, ada sebahagian kawasan yang terjejas akibat banjir kilat di pusat bandar ini sudah kembali seperti biasa.

"Ada juga kawasan terjejas yang masih lagi dalam kritikal terutama yang membabitkan insiden kenderaan awam ditenggelami air.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), pihak bomba dan pasukan penyelamatan lain yang membantu dalam operasi banjir ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 11:00 PM