Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan diaktifkan lebih awal bagi berdepan dengan bencana banjir, dijangka hujung minggu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan yang diambil Kerajaan Persekutuan berdepan dengan bencana banjir tahun ini bersifat proaktif.

Beliau berkata, fokus diberikan kepada kawasan yang dijangkakan mengalami jumlah taburan hujan yang akan menyebabkan berlaku banjir.

"Kesiapsiagaan atau acuan baharu iaitu ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan dijadikan panduan bagi mengaktifkan PPS bagi mangsa sebelum berlalu banjir di kawasan berkenaan.

"Ini bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau kehilangan dokumen penting.

"Ini adalah langkah baharu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, METMalaysia memaklumkan ada tiga kawasan utama yang bakal mengalami taburan hujan tinggi iaitu kawasan Timur Semenanjung iaitu di Kelantan dan Terengganu, Pantai Timur Sabah dan pantai Barat Sarawak.

Katanya, jangkaan juga mendapati kawasan di Semenanjung terlebih awal mengalami situasi berkenaan manakala di Sabah dan Sarawak ia bermula pada Januari depan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan membabitkan sukarelawan untuk bersama-sama dalam menangani dan membantu pengurusan banjir.

"Koordinasi yang dilakukan antara kementerian, jabatan dan agensi bersama badan sukarela ini dilakukan dengan cara cukup holistik kerana kita mahu sentuhan dapat dirasakan oleh mangsa banjir dan Kerajaan negeri," katanya.

Untuk itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya sudah mengarahkan untuk semua agensi Persekutuan yang terbabit untuk menyantuni semua Kerajaan Negeri tanpa mengira sama ada ia bersama dengan Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.

Beliau berkata, kesaksamaan dan keadilan perlu diutamakan tanpa mengira perbezaan pentadbiran negeri terbabit dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat.

"Ini bukan pendekatan baharu yang mungkin biasa ketika saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa ini (sebelum ini)

tetapi saya mengambil pendekatan ini.

"Pada hemat saya, inilah yang juga dipegang oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Untuk rakyat, beliau akan melakukan kesaksamaan dan keadilan demi kepentingan negara secara keseluruhannya," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu turut membincangkan penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani isu banjir termasuk penyediaan tebatan banjir secara holistik.

Beliau berkata, biarpun Kerajaan dimaklumkan ia akan membabitkan kos yang tersangat besar, termasuk projek bernilai RM15 bilion yang sudah dilaksanakan pentadbiran terdahulu, apabila siap kelak ia bakal membabitkan pengurusan banjir sepanjang tempoh sehingga 2100.

Namun, beliau berkata, ia pendekatan yang lebih baik berbanding sekarang apabila penyelesaian diambil apabila berlaku banjir.

Katanya, penyelesaian jangka masa panjang membolehkan pengurusan taburan hujan yang lebih berkesan terutama membabitkan kawasan yang berada bawah aras laut.

"Bagi kawasan-kawasan yang muka buminya di bawah aras laut atau below sea level, ia hendaklah juga diselesaikan dengan cara jangka panjang kerana masalah 'banjir termenung' ini berlaku di banyak tempat di negara kita.

"Kita juga sudah meminta supaya koordinasi dilaksanakan dengan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) agar penyelesaian kepada pemasalahan ini dapat dilakukan dengan segera kerana ia membabitkan berlaku permasalahan pertumbuhan ekonomi dan masalah pencarian kehidupan oleh masyarakat yang terlibat di kawasan 'banjir termenung' berkenaan," katanya yang juga memberi jaminan sebarang bantuan kepada mangsa banjir yang diberikan oleh pentadbiran lalu akan diteruskan.

 DR Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Dewan Persidangan ICU, Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Saifullizan Tamadi.
DR Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Dewan Persidangan ICU, Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Saifullizan Tamadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 7:04 PM