atuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan cenderahati kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
atuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan cenderahati kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pendekatan pemberian bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas mampu membantu mereka untuk meneruskan semula kehidupan selepas mengalami kerugian termasuk kehilangan punca pendapatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini mangsa bencana alam itu hanya dibantu ketika mengalami banjir sahaja, tetapi tidak banyak pihak yang terbabit dengan bantuan pasca banjir.

"Ramai membantu ketika musim banjir, tetapi tidak ramai terbabit dalam membantu mangsa ketika pasca banjir.

"Ini termasuk (bantuan untuk) kehilangan pendapatan, membaik pulih rumah terjejas akibat banjir atau kerosakan perkakas rumah atau dokumen-dokumen yang hilang.

"Jadi (bantuan) pasca banjir sama pentingnya ketika banjir, maka pendekatan ini adalah pendekatan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Santai Pagi Timbalan Perdana Menteri dengan pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan, Rafiq Razali.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Editor Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin serta Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, walaupun banjir dialami negara beriklim tropika seperti Malaysia yang mengalami Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya, maka penyelesaian jangka masa panjang perlu diambil bagi menangani kesannya.

Menurutnya, ini berikutan pendekatan bertindak apabila insiden berlaku tidak lagi boleh diambil ketika ini.

"Penyelesaian jangka panjang perlu dilakukan termasuk rancangan tebatan banjir. Ia sebagai satu perancangan pelaksanaan jangka panjang yang pada hemat saya, ia harus dilakukan dengan segera bagi pengurusan banjir.

"Program ini akan berjalan hingga 2100, perbelanjaannya terlalu banyak tetapi kita boleh lakukan fasa demi fasa," katanya.

Menurutnya, berpandukan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), secara tidak langsung mereka yang terjejas dalam banjir dapat dipindahkan ke tempat selamat dengan lebih awal.

Amaran hujan lebat, katanya, boleh diunjurkan seminggu atau tiga hari sebelum berlaku, dan usaha pemindahan dan kesiapsiagaan dilakukan lebih awal supaya mangsa tidak hanya dipindahkan ketika bencana alam itu berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 4:20 PM