Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kegiatan penipuan secara dalam talian semakin menjadi-jadi disebabkan sindiket ini sentiasa mencari ruang dan peluang menukar taktik untuk memperdaya mangsa.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, berikutan itu, pihaknya akan mengadakan lebih banyak program berkaitan ancaman scammer yang bertujuan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat luar supaya tidak terjebak dengan penipuan seperti ini.

Beliau berkata, program seperti itu akan dilakukan secara berterusan disebabkan peningkatan kes dari penipuan membabitkan Scammer secara dalam talian semakin tinggi.

"Sekarang ini, penipuan secara dalam talian semakin ketara di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) selain golongan pesara kerana scammer akan tahu golongan berusia 60 tahun adalah mereka yang terdiri di kalangan pesara yang mempunyai wang yang banyak.

"Kita sudah berbincang di peringkat Kontinjen Kedah supaya mengadakan lebih banyak program kesedaran dan ilmu ini perlu diperkuatkan lagi supaya ramai yang tahu mengenai tanda-tanda awal yang mana satu penipuan scammer atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Town Hall PDRM Kedah Ancaman Scammer Penipuan Versus Pengetahuan di Dewan Utama IPK Kedah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Pengubahan Wang Haram) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid selaku panel dan Duta Anti Scam PDRM, Asisten Superintendan Rahmat Fitri Abdullah.

Mohd Roze berkata, modus operandi yang digunakan scammer adalah sama iaitu membuat panggilan kepada mangsa menggunakan telefon bimbit.

DATUK Mohd Roze Shaari ketika ditemui pada sesi Town Hall Ancaman Scammer Masa Kini di IPK Kedah. FOTO Luqnab hakim Zubir
DATUK Mohd Roze Shaari ketika ditemui pada sesi Town Hall Ancaman Scammer Masa Kini di IPK Kedah. FOTO Luqnab hakim Zubir

Katanya, jarang pihak bank atau Jabatan kerajaan menggunakan telefon bimbit untuk membuat urusan rasmi dan biasanya akan menghantar surat kepada individu berkenaan.

"Melainkan pegawai berkenaan menggunakan telefon bimbit dengan memperkenalkan diri dan meminta penama berkenaan hadir ke pejabat untuk membuat sebarang urusan dan bukannya meminta wang melalui dalam talian.

"Di Kedah paling banyak kes penipuan adalah Macau Scam dan Love Scam, jadi nasihat saya orang ramai berhati-hatilah apabila menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali," katanya.

Mohd Roze berkata, biasanya mangsa akan menjadi panik apabila didakwa mempunyai saman atau cukai pendapatan yang tidak dibayar menyebabkan mereka takut dan mengikut semua arahan Scammer.

Selain itu, katanya ada juga segelintir yang sanggup membuka akaun bank dan menjual kepada individu lain untuk urusan pemindahan wang oleh scammer.

Katanya, biasanya 'mule akaun' atau keldai akaun ini mudah dikesan dan pemilik akaun berkenaan akan dikenakan tindakan.

"Nasihat saya kepada orang ramai supaya jangan membuka akaun bank semata-mata untuk diberi kepada pihak lain untuk tujuan tertentu kerana ia menjadi satu kesalahan.

"Selain itu, jangan mudah mendedahkan maklumat perbankan termasuk nombor TAC bank kepada sesiapa saja kerana ia adalah sulit bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 3:24 PM