KAMARUL Zaman ditemui selepas menyempurnakan Program ‘Town Hall’ : Ancaman ‘Scammer’ Masa Kini di Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) di Johor Bahru. FOTO Izz Laily Hussein
KAMARUL Zaman ditemui selepas menyempurnakan Program ‘Town Hall’ : Ancaman ‘Scammer’ Masa Kini di Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) di Johor Bahru. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Guru direkodkan sebagai penjawat awam yang paling ramai menjadi mangsa skim penipuan termasuk jenis penipuan dalam talian seperti Macau Scam, Love Scam dan Parcel Scam di Johor tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, berdasarkan statistik bermula Januari lalu hingga September, sebanyak 117 kes penipuan membabitkan mangsa yang bekerja sebagai guru.

Beliau berkata, nilai kerugian yang direkodkan membabitkan mangsa guru pula adalah sebanyak lebih RM4.24 juta bagi tempoh berkenaan.

"Siasatan mendapati di Johor ada lebih 50,000 orang guru, jadi mungkin itulah salah satu faktor kerana ramai guru di negeri.

"Sindiket penipuan tidak pilih mangsa tetapi mungkin kerana ramai komuniti guru di sini yang menyebabkan mereka menjadi mangsa.

"Sebab itu kita ambil peluang ini menjemput guru-guru untuk hadir sesi 'town hall' (libat urus) supaya dapat bantu memberi penerangan dan mendidik mereka bagi mengelakkan menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program 'Town Hall' : Ancaman 'Scammer' Masa Kini di Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, hari ini.

Seramai 250 orang guru dari seluruh negeri ini hadir pada majlis berkenaan.

Menurut Kamarul Zaman, bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Johor menerima 388 laporan kes penipuan membabitkan penjawat awam.

Katanya, jumlah itu dilihat meningkat berbanding 322 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Nilai kerugian yang dicatatkan pula adalah sebanyak lebih RM10.02 juta setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 12:53 PM