Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Wanita adalah golongan paling ramai menjadi mangsa penipuan berbanding lelaki dengan merekodkan 55 peratus hasil kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki pula merekodkan 45 peratus menjadi mangsa penipuan.

Menurutnya, antara jenis penipuan seperti pembelian dalam talian, Macau Scam, Parcel Scam, Love Scam dan tipu pinjaman tidak wujud.

"Statistik mengikut kaum pula merekodkan orang Melayu paling ramai iaitu 40 peratus diikuti Cina (30 peratus), India (19 peratus) dan lain-lain kaum (11 peratus).

"Malah mereka yang berusia 17 hingga 40 tahun adalah paling ramai menjadi mangsa penipuan iaitu sebanyak 65 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Town Hall berhubung isu online scammer oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 2, Kepong, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, golongan usia seperti itu banyak menjadi mangsa penipuan kerana banyak menggunakan telefon bimbit dan melayari sosial media.

"Mereka terlampau obses untuk membeli barangan dalam talian terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum akhirnya menjadi mangsa penipuan.

"Manakala sebanyak 23 peratus adalah golongan berusia 41 hingga 60 tahun menjadi mangsa penipuan di mana kajian mendapati mereka kurang pengetahuan mengenai scammer kerana tidak membaca surat khabar dan Internet.

"Manakala wanita yang kesunyian pula menjadi mangsa penipuan love scam apabila terpengaruh dan jatuh cinta dengan sindiket," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditipu ini datang dari pelbagai latar belakang seperti pekerja swasta, kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 5:25 PM