Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kes penipuan secara dalam talian di negeri ini meningkat sebanyak 82 peratus pada Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu sehingga mengakibatkan kerugian RM5 juta.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, peningkatan jumlah itu berpunca disebabkan mangsa terlalu percayakan scammer tanpa merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu.

Menurutnya, ramai yang percaya apabila menerima panggilan daripada pihak yang menyamar sebagai polis dan kononnya terbabit dalam penggubahan wang haram, dadah dan sebagainya secara dalam talian.

"Polis takkan siasat atau ambil maklumat mangsa melalui talian kerana kita akan panggil mereka datang ke pejabat sekiranya benar mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Kalau buat panggilan secara dalam talian itu bukan polis dan masyarakat perlu sedar dan jangan layan panggilan yang minta maklumat peribadi kita, nombor akaun dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai Kempen Pencegahan Jenayah Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Awie Tour 2022 di Kompleks Aman Central, di sini, hari ini.

Artis jemputan yang hadir memeriahkan program itu adalah Datuk Awie dan Saiful Apek.

Dalam pada itu, Mohd Roze berkata, melalui program ini dapat mendekatkan masyarakat supaya menghindari kegiatan penipuan dalam talian ini supaya tidak berterusan.

Katanya, program penjelajahan itu bermula di Kedah, seterusnya ke Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

"Program kesedaran ini sangat penting kerana jumlah kerugian bukanlah sedikit tapi saya tak tahu kenapa mereka (mangsa) boleh percayakan scammer.

"Jika dapat panggilan meragukan teruslah berhubung dengan polis dan setahu saya scammer ini sudah ada maklumat orang dia hendak hubungi kerana mereka sudah study (belajar) dari awal. Jarang mangsa datang awal buat laporan, bila hilang ratusan ribu baru buat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 8:56 PM
MOHD Roze Shaari (tengah) menerima cenderahati daripada Awie dalam Kempen Pencegahan Jenayah Anti Scam PDRM (Awie Tour) 2022 di Kompleks Aman Central. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
MOHD Roze Shaari (tengah) menerima cenderahati daripada Awie dalam Kempen Pencegahan Jenayah Anti Scam PDRM (Awie Tour) 2022 di Kompleks Aman Central. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI