Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sikap tidak mengambil tahu isu semasa serta mudah panik antara punca mangsa mudah terpedaya dan terbabit dalam kegiatan jenayah komersial atau penipuan scammer.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kebanyakan kes yang berlaku membabitkan penipuan secara dalam talian antaranya Macau Scam, permintaan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dan kod laluan-sekali (OTP), Love Scam dan Parcel Scam.

Menurutnya, sepanjang tahu lalu sebanyak 375 kertas siasatan dibuka membabitkan jenayah itu di daerah Kota Setar sahaja dengan nilai kerugian hampir RM60 juta.

"Bersandarkan penelitian kami dapat simpulkan bahawa kegiatan jenayah ini berjaya memperdayakan mangsa berpunca dari dua sikap dengan yang pertamanya adalah tidak mengambil tahu mengenai isu semasa serta mudah panik.

"Sikap itu perlu dielakkan kerana pengetahuan berkaitan isu semasa mampu menjadi benteng utuh bagi mengelakkan mereka ditipu scammer.

"Dengan pengetahuan itu juga mampu membantu seseorang individu untuk lebih bertenang serta tidak panik apabila menerima panggilan dari pihak tertentu," katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Jenayah Komersial: Penipuan Dalam Talian Atau Scammer di Masjid Tuan Hussin, Jalan Anak Bukit dekat Titi Gajah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan penipuan Ah Long siber turut diberi perhatian kerana modus operandi sedemikian turut sering digunakan bagi menipu orang ramai.

"Selain itu, sikap tamak serta mahukan keuntungan cepat dengan kecenderungan ke arah itu perlu dijauhi kerana mengganggu kewarasan berfikir yang akan menyebabkan mangsa terikut-ikut dengan hawa nafsu.

"Hal ini dibuktikan dengan kes-kes scammer membabitkan golongan profesional serta terpelajar hanya disebabkan mereka mengejar kemewahan atau keuntungan cepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 5:24 PM