Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Mas: Masih ada segelintir mangsa banjir yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana beranggapan bencana yang berlaku 'tidak besar' dan ingin berada di kediaman masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, walau bagaimanapun pasukan anggota keselamatan sentiasa menasihati mangsa banjir dan memantau kawasan yang sudah ditenggelami air untuk memindahkan mereka ke PPS jika keadaan berisiko.

Katanya, meskipun ada di antara mangsa banjir yang enggan berpindah, namun keadaan masih terkawal dan ada yang berjaya dipujuk.

"Bagi mereka yang enggan berpindah ke PPS, alasan yang diberikan adalah sayang kepada harta benda apabila meninggalkan kediaman.

"Bagaimanapun, polis memberi jaminan mereka tidak perlu bimbang kerana rondaan sentiasa dilakukan di kawasan dinaiki air bagi memastikan keselamatan harta benda mangsa dalam keadaan baik dan terkawal.

"Setakat ini tidak ada laporan kecurian harta benda mangsa banjir," katanya pada sidang media di Balai Polis Repek, di sini, hari ini.

Nik Aminuddin berkata, cuaca pada hari ini beransur pulih selain paras air Sungai Golok sudah menunjukkan trend penurunan dengan bacaan 9.56 meter berbanding tiga hari lalu dengan bacaan 9.66 meter

"Dengan keadaan hujan yang berhenti dan air sungai juga menurun, saya menjangkakan keadaan banjir akan bertambah baik dan mangsa berkurangan bermula hari ini. Selepas dua tiga hari mereka sudah boleh pulang ke rumah masing-masing.

"Setakat ini sebanyak 10 kampung di daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang dinaiki air antaranya Kampung Serongga, Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Gading, Kampung Bendang Perol Tok Deh dan Kampung Bukit Lata.

"Pada masa sama, jalan perhubungan di kampung yang terjejas banjir turut ditutup kepada kenderaan ringan berikutan paras air di antara 0.2 hingga 0.8 meter," katanya.

Beliau berkata, seramai 170 anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk penugasan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 2:22 PM