Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Hujan lebat yang berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di sini, dilanda banjir sekali gus jumlah mangsa juga meningkat secara mendadak.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, beliau menjangkakan banjir akan menjadi lebih buruk apabila berlaku limpahan air Sungai Kelantan di Tangga Krai yang bertembung dengan air sedia ada apabila melebihi paras bahaya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 18 pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan lebih 2,000 mangsa banjir dari 20 kampung yang kini sudah ditenggelami air.

"Bagaimanapun, ada segelintir mangsa yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana mereka lebih sayangkan harta benda berbanding nyawa sendiri.

"Ada juga segelintir mangsa di kawasan Sungai Durian yang memilih berpindah ke atas bukit bagi menyelamatkan diri daripada banjir.

SUPERINTENDAN Suzaimi Mohammad (kanan) meninjau lokasi banjir di daerah Kuala Krai. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SUPERINTENDAN Suzaimi Mohammad (kanan) meninjau lokasi banjir di daerah Kuala Krai. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Bagaimanapun, saya dan pasukan keselamatan menasihati mereka supaya berpindah lebih awal bagi memastikan pihak kami tidak mengalami kesukaran ketika operasi menyelamat," katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi banjir di Kampung Petaling di sini, hari ini.

Suzaimi berkata, seramai 198 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan untuk memantau kawasan terjejas selain operasi menyelamat.

"Bagaimanapun, pertambahan anggota akan dilakukan dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan semasa.

"Justeru itu, saya menasihatkan kepada penduduk supaya lebih peka dengan taburan hujan yang tidak sekata, selain keadaan cuaca mendung serta menjadikan paras air Sungai Lebir dan Sungai Galas sebagai rujukan.

"Masyarakat juga perlu peka dengan keadaan semasa termasuk mengikut arahan berpindah untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, setakat jam 2.15 petang hari ini terdapat 10 sungai di negeri ini sudah melepasi paras bahaya.

Sungai-sungai berkenaan ialah Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 39.69 meter (m); Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.28m); Sungai Nal di Kampung Sungai Nal (29.24m) dan Sungai Pergau di Jambatan Jerimbong, Kuala Balah, Jeli (55.90m).

Selain itu, Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (29.75m); Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.15m); Sungai Golok di Rantau Panjang (10.72m); Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (3m); dan Jambatan Melor di Bachok (9.32m).

Empat sungai lagi berada paras waspada, Sungai Galas di Kampung Lembaga, Gua Musang; Sungai Kelantan di Tambatan DRaja; Sungai Kelantan di Jeti Kastam; dan Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:27 PM