ANGGOTA bomba ketika misi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Pulau Sekati. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANGGOTA bomba ketika misi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Pulau Sekati. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Sembunyi dalam rumah dan paras air masih rendah antara alasan diberikan segelintir penduduk di Kampung Pulau Sekati di sini yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Walaupun kawasan kediaman sudah dinaiki air melebihi satu meter dan bekalan elektrik juga sudah terputus, empat keluarga dari kampung berkenaan tidak mahu keluar dari rumah masing-masing ketika operasi menyelamat dan memindahkan mangsa dijalankan pasukan bomba semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan pada 8.15 malam daripada penduduk yang memaklumkan tidak dapat keluar selepas terputus bekalan elektrik dan hubungan jalan darat susulan hujan lebat dan banjir.

Menurutnya, seramai 15 anggota bersama dua bot dan sebuah lori bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa.

"Ketika usaha memindahkan penduduk di kampung berkenaan, terdapat kira-kira 15 orang daripada empat keluarga enggan berpindah dengan dengan memberi alasan paras air masih terkawal dan hanya akan berpindah jika keadaan semakin buruk.

"Kita cuba menasihati mereka kerana bimbang kejadian buruk berlaku sekiranya air dengan mendadak pada waktu malam tetapi mereka ini masih enggan berpindah. Ada (penduduk) yang bersembunyi ketika kita datang ke rumah mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rozizah berkata, operasi yang berakhir jam 11.15 malam itu berjaya memindahkan 14 penduduk daripada lima keluarga ke PPS di Sekolah Kebangsaan Bukit Losong di sini.

"Kita berharap penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 6:43 PM