Oleh Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana sudi turun padang melihat nasib kami di sini," luah Che Rahmah Awang.

Che Rahmah, 74, berkata, kehadiran pemimpin tertinggi di pusat pemindahan sementara (PPS) melegakan penduduk selain memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan masalah dihadapi.

Katanya, penduduk mengharapkan kerajaan baharu dapat membantu menyelesaikan isu banjir besar yang melanda penempatan rendah di Rantau Panjang susulan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

"Sebaik mengetahui Timbalan Perdana Menteri akan datang ke sini, kami berasa sangat gembira selepas lebih seminggu berduka kerana rumah digenangi air dan masih belum surut sepenuhnya.

"Sekurang-kurangnya kami tahu, nasib kami diambil cakna oleh kerajaan dengan kehadiran pemimpin tertinggi ke sini. Dalam masa sama, membuka ruang untuk kami bertemu mata dengan mereka.

"Saya berharap banjir segera pulih supaya dapat kembali ke rumah," katanya ditemui selepas menerima kunjungan Ahmad Zahid di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Selain SK Gual To'Deh, Ahmad Zahid turut melawat mangsa banjir di SK Gual Periok selain menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada mangsa terbabit.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ramlah Che Busu, 64, berkata, dia tidak sangka berpeluang berbual dengan Ahmad Zahid walaupun dalam tempoh singkat.

"Ahmad Zahid sempat bertanya khabar saya sekeluarga dan keadaan rumah yang lebih seminggu digenangi air serta menyampaikan sumbangan bekalan makanan.

"Inisiatif untuk turun padang memberi gambaran beliau adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan peka dengan masalah masyarakat setempat, khususnya mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 12:18 PM
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  (kanan)  menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR