GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Kulai: Seorang lelaki parah ditetak dengan parang dalam pergaduhan di tepi jalan Scientex Jaya, Taman Scientex Senai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian disedari orang awam pada jam 7.50 malam sebelum melaporkan kepada polis.

Katanya, susulan itu polis mengesan dan menangkap suspek yang dipercayai menaiki Honda Accord berwarna putih.

"Bertindak atas maklumat, pada jam 3.40 pagi tadi, anggota menjumpai Honda Accord dipandu seorang wanita berumur 23 tahun di stesen minyak di Taman Aman Senai, di sini.

"Pemeriksaan mendapati terdapat sebilah parang dalam kereta. Tidak lama kemudian datang sebuah kereta jenis sama dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut. Hasil siasatan, polis menangkap lelaki berusia 34 tahun dalam satu serbuan di sekitar Senai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, mangsa berusia 27 tahun mengalami kecederaan akibat ditetak di kepala, bahu, tangan dan kaki dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

Katanya, hasil semakan mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada dendam.

"Polis membuat rampasan sebilah parang, dua kereta, seluar dan baju bagi membantu siasatan. "Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 5:24 PM