TOK Beng Yeow. FOTO Arkib NSTP
TOK Beng Yeow. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


SEORANG remaja perempuan berusia 19 tahun ditahan polis bersama dua lelaki selepas terbabit dalam pemerasan wang dan laporan palsu semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian 9.24 malam itu, pengadu yang juga ibu kepada remaja perempuan berkenaan memaklumkan dia menerima panggilan telefon dari anaknya mengatakan ditahan oleh seorang lelaki tidak dikenali di sekitar kawasan Senai, di sini.

Katanya, anaknya mendakwa lelaki itu meminta ibunya menyerahkan wang berjumlah RM10,000 jika mahu melihat dia selamat.

“Remaja terbabit disyaki berpakat dengan suspek dengan cara memaksa ibunya untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun seorang daripada suspek dan ibunya menurut permintaan terbabit demi keselamatan anaknya.

“Bertindak atas maklumat itu, pegawai serta anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan sebuah kereta Honda dan menahan tiga individu berusia antara 19 hingga 57 tahun di laluan keluar Plaza Tol Senai Utara semalam,” katanya pada sidang media di IPD Kulai di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, semakan rekod mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 384/182 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 6:48 PM