GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


BEBERAPA kes pecah rumah berjaya diselesaikan susulan penahanan seorang lelaki di sebuah bengkel di Kampung Melayu, Bukit Batu Sedenak, Kulai semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 28 tahun ditahan pasukan dari Balai Polis Air Bemban pada 7.30 malam dan turut ditemui peralatan dipercayai digunakan untuk jenayah itu.

Antaranya, sebilah parang panjang berukuran 44 sentimeter, sebilah kuku kambing dan sebilah pemotong besi.

“Siasatan awal, suspek mengaku terbabit kes pecah rumah sekitar Kulai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebuah kereta Honda FD dirampas kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu selain nombor chasisnya menunjukkan ia kereta dilapor hilang di Kulai.

Selain itu, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, empat unit alat kawalan jauh kereta pelbagai jenis dan tiga jam tangan juga dirampas.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 5:27 PM