GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


Kulai: Pertengkaran antara rakan serumah berakhir tragedi apabila seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai ditikam dengan pisau di asrama pekerja di Taman Scientex, Senai, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian 9 itu, mangsa berusia 25 tahun dilaporkan bergaduh dengan rakannya dipercayai mabuk selepas minum minuman keras.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, susulan laporan diterima daripada pengadu yang juga penyelia mangsa, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa ditemui berada dalam keadaan terduduk dan berlumuran darah dengan empat kesan tikaman.

"Turut dijumpai, sebilah pisau dipercayai senjata digunakan untuk menikamnya dan pemeriksaan awal pada tubuh mendapati ada kesan kecederaan di dada serta rusuk akibat tikaman.

"Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, lima lelaki warga Myanmar berusia 20 hingga 43 tahun ditahan menerusi serbuan dijalankan BSJ IPD Kulai dan Bahagian D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru dan Melaka, antara 11 pagi hingga 3 petang semalam.

Menurutnya, semua suspek direman selama enam hari bermula hari ini hingga 2 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 1:03 PM