Superintendan Tok Beng Yeow  menunjukkan barang rampasan pada sidang media yang diadakan di IPD Kulai, Johor Bahru. FOTONURUL AMANINA SUHAINI
Superintendan Tok Beng Yeow menunjukkan barang rampasan pada sidang media yang diadakan di IPD Kulai, Johor Bahru. FOTONURUL AMANINA SUHAINI
Oleh Nurul Amanina Suhaini


KULAI: Polis menumpaskan Geng Kiran yang terbabit dengan pecah rumah dengan penahanan lima suspek termasuk seorang wanita dalam beberapa siri serbuan di negeri ini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kesemua warga tempatan itu aktif melakukan jenayah berkenaan sejak dua bulan lalu ditahan di sekitar kawasan Kulai, Senai, Permas Jaya, Larkin dan Skudai bermula Rabu hingga Jumaat lalu.

Katanya, pada 27 Disember lalu, polis menerima laporan pecah rumah di Jalan Cenderawasih Bandar Putra Kulai dekat sini kira-kira jam 2.10 petang.

"Siasatan mendapati pintu bahagian tepi rumah diumpil dan penggera keselamatan dirosakkan, selain sejumlah barang berharga termasuk barang kemas hilang.

"Bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan Balai Polis Kulai menahan lima warga tempatan berusia antara 19 hingga 31 tahun menerusi beberapa siri serbuan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di IPD Kulai, hari ini.

Beng Yeow berkata, pihaknya membuat rampasan beberapa barangan dengan nilai keseluruhan RM100,000 termasuk sebuah Proton Wira, 25 resit pajak gadai, 13 rantai emas, 19 cincin, lapan loket, empat subang emas, dua jam tangan, satu plate emas dan tiga gelang tangan.

"Ujian saringan air kencing dadah mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine, manakala empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan tiga rakan kumpulan berkenaan berusia 30-an serta pembabitan mereka dalam kes pecah rumah yang lain.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 13 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah," katanya.

Jika sabit kesalahan, katanya boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 4:09 PM